April 26, 2024

Search
Close this search box.

Profesor Dr Ahmad Fauzi menang Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan 2012

Profesor Dr Ahmad Fauzi menerima hadiah daripada Tan Sri Muhyiddin.
Profesor Dr Ahmad Fauzi menerima hadiah daripada Tan Sri Muhyiddin.

PUTRAJAYA, 21 Ogos 2013: Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail, FASc. dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk 2012.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM50 ribu yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di majlis Anugerah Akademik Negara 2012, dekat sini malam tadi.

Profesor Ahmad Fauzi menghasilkan sistem Teknologi Pemisah Bermenbran (Membrane Technology for Separation Process (MTSP)) menggunakan bahan berasaskan polimer dan bahan komposit untuk rawatan air dan air sisa, pembuangan gas karbon dioksida dan penapisan asid lemak bebas daripada minyak kelapa sawit.

Profesor Dr Ahmad Fauzi memberi penerangan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai produk yang dihasilkannya.
Profesor Dr Ahmad Fauzi memberi penerangan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai produk yang dihasilkannya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Membran Termaju (AMTEC) dan Dekan Penyelidikan, Materials and Manufacturing Research Alliance, menghasilkan membran berprestasi tinggi bagi kegunaan dalam pelbagai industri seperti bioteknologi, petrokimia, farmaseutikal, industri yang berkaitan dengan makanan dan minuman serta alam sekitar.

MTSP sesuai untuk kegunaan domestik seperti proses penulinan air minuman, penghasilan air minuman daripada air laut dan rawatan air serta air sisa, pembuangan gas berasid seprti gas karbon dioksida serta penapisan minyak kelapa sawit dalam industri tempatan.

Produk ini yang menggunakan sumber bahan mentah dan tenaga kerja tempatan didapati setanding dengan produk yang sedia ada di pasaran dan dapat mengurangkan kos sehingga 40 peratus  berbanding sistem konvensional bagi kegunaan industri.

MTSP telah berjaya dikomersil dan dipasarkan di dalam dan luar negara. Antara pengguna produk berkenaan ialah syarikat minyak dan gas multinational, syarikat multinational berkaitan dengan komoditi, pusat-pusat penyelidikan dalam dan luar negara serta pusat pengajian tinggi luar dan dalam negara.

MTSP dipasarkan oleh UTM Holdings Sdn Bhd itu telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya International Invention of the Year for Potential for Commercialization, dalam British Invention Show 2012 dan Seoul International Invention Fair 2011, Anugerah Inovasi Negara 2011 dan Anugerah Harta Intelek Negara 2013.

Profesor Ahmad Fauzi adalah rakyat Malaysia pertama dianugerahkan ASEAN Young Scientist and Technologist Award pada tahun 2001.

Beliau juga penerima Anugerah Saintis Muda Negara pada tahun 2000. Disamping itu, beliau merupakan ahli akademik Malaysia pertama memenangi Anugerah Inovasi Negara sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 and 2011 serta Anugerah Harta Intelek Negara bagi tahun 2011 dan 2013.

Sejak aktif dalam bidang inovasi dan pengkomersilan produk berkaitan dengan teknologi membran, beliau telah berjaya menjana hasil jualan sebanyak RM2,800,000.

Seluruh masyarakat UTM mengucapkan tahniah di atas kejayaan tersebut.

Explore More