April 23, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 24 September 2012 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merancang membuka makmal penyelidikan teknologi animasi serta kreatif bagi memupuk minat mahasiswa dalam bidang sains dan teknologi.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang berkata ini berikutan kejayaan universiti itu menjalin kerjasama dengan Animonsta Studios Sdn. Bhd. membina kapal angkasa bagi program taman tema bergerak ‘Dunia Futuristik Boboiboy’ (DFB) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak hari ini.

Menerusi MoU itu, pelajar Fakulti Alam Bina, Fakulti Sains Komputer, Fakulti Elektrik dan Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM akan membina kapal angkasa setinggi 6.1 meter.

“Dengan terjalinnya hubungan kerjasama ini, diharap dapat mengembangkan lagi usaha dalam mempelbagaikan bidang sains dan teknologi bagi menyokong industri kreatif di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU bagi pihak UTM. Animonsta Studios diwakili Pengarah Urusannya, Mohd Nizam Abd Razak.

Beliau yakin MoU itu akan mewujudkan kolaborasi dalam penyelidikan, pembangunan dan latihan bagi mempertingkat daya kreativiti serta inovasi pelajar yang menceburi bidang tersebut.

Zaini juga berkata ini bersesuaian dengan program transformasi kecemerlangan mahasiswa UTM, yang menekankan pendedahan mahasiswa berhubung kepentingan program Keusahawanan dan Penciptaan Kerjaya.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata kerjasama ini akan memberi manfaat kepada mahasiswa UTM dengan mempertingkat pengetahuan sains dan teknologi dalam bentuk animasi serta multimedia selain berkongsi ilmu dan pengalaman menerusi bidang industri kreatif.

Beliau berkata pihaknya akan menjadi pembekal karektor dan berkongsi kepakaran animasi dalam menjayakan beberapa projek didik hibur atau ‘edutainment’.

“DFB merupakan satu program taman tema yang berkonsepkan pembelajaran interaktif dengan menggunakan teknologi realiti maya, holografik, robotik dan eksperimen kimia.

“Dengan kehadiran kapal angkasa di taman tema bergerak DFB, yang dijangka mula dibuka akhir tahun ini, pengunjung dapat merasai dan mengalami pengalaman pengembaraan angkasa yang sebenar seperti dalam siri ‘Boboiboy’ di kaca televisyen,” katanya.

Mohd Nizam juga berkata pembinaan kapal angkasa itu menelan belanja RM500,000 dan dijangka menerima kira-kira 100,000 pengunjung, yang sebahagian besarnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja dari seluruh Malaysia. – Bernama

Sumber: Sinar Harian http://www.sinarharian.com.my/nasional/utm-rancang-buka-makmal-penyelidikan-teknologi-animasi-dan-kreatif-1.88139

Explore More