April 20, 2024

Search
Close this search box.
Dr. Zaini mengadakan sidang media di pejabat Presiden Perbadanan Putrajaya.

PUTRAJAYA, 19 September 2012: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berusaha mengumpul dana sebanyak RM1 juta bagi mengisi Tabung Endowmen untuk membantu menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, bagi mengumpul dana, UTM akan mengadakan UTM Royal Gala Dinner dan UTM Corporate Golf Tournament di bawah program ‘1 Million Endowment Project’ yang merupakan aktiviti amal yang dirancang oleh Pejabat Alumni UTM.

“Program ini diwujudkan untuk mengisi dana Tabung Endowmen UTM bagi melaksana pelbagai aktiviti keilmuan dan kesarjanaan, selain memberi peluang kepada masyarakat menyumbang dan mengangkat institusi ilmu.

“Program in juga bertujuan mewujudkan rangkaian korporat alumni (Alumni Corporate Network (ACN)), iaitu kumpulan sukarelawan profesional yang bergabung dengan komuniti UTM,” katanya di sidang media di pejabat Presiden Perbadanan Putrajaya, dekat sini hari ini.

Sidang media itu dihadiri oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh bin Che Mat selaku Penasihat Kehormat ‘1 Million Endowment Project’.

Dr Zaini berkata, kumpulan berkenaan yang diketuai oleh Penasihat  Endowmen Alumni UTM, Dato’ Yusof A Bakar @ Md Taib dan Dato’ Yusni Meon akan membina jaringan kerjasama pintar dan hubungan strategik yang berterusan  antara UTM dan alumni ke arah hubungan yang lebih bermakna dengan dunia luar.

Tabung Endowmen UTM dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada tahun 2010 dan telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM45.2 juta.

“Tabung ini diwujudkan untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar tahun perrtama, dan UTM mensasarkan menjelang 2020 semua pelajar ijazah sarjana muda menerima biasiswa dari tabung ini.

Dr Zaini menyampaikan surat perlantikan sebagai Penasihat Kehormat ‘1 Million Endowment Project’ kepada Tan Sri Aseh.

“Sehingga kini seramai 150 mahasiswa cemerlang UTM telah menerima biasiswa berjumlah RM12 ribu setiap tahun dan ianya tidak terikat dengan sebarang perjanjian dengan UTM dan mereka bebas memilih pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial UTM dalam membantu mengurangkan beban kerajaan dalam menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di UTM.

“Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan makmal dan mempergiatkan aktiviti penyelidikan sejajar dengan peranan UTM sebagai Universiti Penyelidikan (RU).

“UTM yang diumumkan sebagai universiti pertama yang mendapat status autonomi di negara ini perlu menjana pendapatan sendiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan,” katanya.

UTM Royal Gala Dinner akan diadakan pada  5 Oktober  2012 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur dan akan dihadiri oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Menteri Pengajian Tinggi, Pro Canselor, Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, wakil industri, pegawai kanan Universiti dan  alumni UTM.

Manakala UTM Corporate Golf Tournament akan berlangsung pada 7 Oktober 2012 di Palm Garden Golf Club, Putrajaya dan akan disertai oleh Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh bin Che Mat.

Dijangka 1,000 peserta akan menyertai jamuan dan pertandingan yang melibatkan peserta dari syarikat swasta, agensi kerajaan, alumni UTM dan penaja utama serta jemputan khas.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More