📝 Ringkasan
Program Portfolio Digital di Sungai Gumut telah dilaksanakan untuk meningkatkan literasi digital di kalangan belia luar bandar. Seramai 20 orang belia menyertai program ini, yang membantu mereka menguasai kemahiran digital dan teknologi kreatif. Mereka didedahkan kepada penggunaan aplikasi reka bentuk seperti Canva dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan portfolio digital yang profesional. Program ini bertujuan melahirkan generasi muda yang mahir memanfaatkan teknologi digital dan mampu menterjemahkan potensi dan aspirasi masa depan mereka dalam bentuk portfolio profesional.
SUNGAI GUMUT, 25 Julai – Dalam usaha merapatkan jurang literasi digital di kawasan luar bandar, satu program transformatif bertajuk “Pembangunan Portfolio Digital” telah dilaksanakan bagi memperkasa belia di Sungai Gumut melalui penguasaan kemahiran digital dan teknologi kreatif. Seramai 20 orang belia setempat menyertai program ini, terdiri daripada 15 peserta di bawah naungan MySkills Foundation dan lima peserta dari GiatMARA Kalumpang.
Program ini diketuai oleh Dr. Sya Azmeela Shariff dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan dibantu oleh barisan tenaga pengajar yang terdiri daripada Dr. Suraya Ya’acob, Muhammad Faris Mat Nazer dan Farah Azleen Abdul Rahim dari FAI, serta Ts. Nur Fadhilah Zaharin dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Selain itu, lima orang pensyarah dan staf sokongan fakulti turut menjayakan pelaksanaan program ini. Program ini juga mendapat sokongan enam orang pelajar UTM yang terdiri daripada empat pelajar Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dan dua pelajar pascasiswazah yang berperanan sebagai pembantu fasilitator.
Modul program dibangunkan bersama Muhammad Nurafif Mohd. Norshisam, pelajar pascasiswazah dalam bidang Reka Bentuk Industri. Gabungan kepakaran ahli akademik dan penglibatan pelajar dalam pembangunan modul menjadikan program ini lebih interaktif dan berimpak tinggi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang memanfaatkan aplikasi Canva serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kemahiran digital peserta.
Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Ilmu–Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) 2026 bertajuk Digital Rakyat di Mukim Sungai Gumut: Merentas Generasi melalui Media Digital Kreatif, yang berteraskan pembangunan komuniti dan pemerkasaan kemahiran digital secara inklusif.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada penggunaan aplikasi reka bentuk seperti Canva bagi menghasilkan imej berasaskan AI, di samping mempelajari teknik asas penyusunan teks dan elemen visual dalam pembangunan portfolio digital. Mereka turut mengikuti modul berkaitan pembinaan identiti dan penjenamaan diri, pengurusan kandungan visual serta strategi penulisan kreatif bagi menghasilkan portfolio yang lebih tersusun, menarik dan profesional.
Inisiatif ini bertujuan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mahir memanfaatkan teknologi digital, malah mampu menterjemahkan potensi dan aspirasi masa depan mereka dalam bentuk portfolio profesional. Melalui portfolio yang dihasilkan, peserta berpeluang mempromosikan kemahiran vokasional seperti pertukangan, perkhidmatan teknikal dan kemahiran profesional lain kepada bakal majikan, komuniti serta industri.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri peserta, malah memperluas peluang kebolehpasaran dan keusahawanan. Bagi peserta dalam bidang kesetiausahaan, misalnya, portfolio digital mampu menyerlahkan kompetensi mereka sebagai profesional pentadbiran yang berketerampilan.
Pada masa yang sama, portfolio tersebut turut berfungsi sebagai medium memasarkan perkhidmatan seperti penulisan, pengurusan acara, penyediaan bahan rasmi dan reka bentuk grafik secara bebas (freelance), sekali gus membuka peluang keusahawanan mikro dalam komuniti.

Melalui bimbingan secara praktikal daripada fasilitator yang berpengalaman dalam penggunaan Canva dan aplikasi reka bentuk digital, peserta dilatih menghasilkan portfolio digital yang berkualiti sebagai identiti profesional. Portfolio tersebut boleh dimanfaatkan bagi tujuan permohonan pekerjaan, pembangunan kerjaya, keusahawanan dan penyertaan dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

Antara peserta yang menyertai bengkel ialah Harries dari MySkills Foundation serta Rizman Kamil Rosli dan Muhammad Firdaus dari GiatMARA Kalumpang. Mereka menyifatkan bengkel ini sebagai pengalaman pertama yang memperkenalkan kaedah penyediaan portfolio digital secara profesional.
Melalui latihan yang diberikan, mereka memperoleh kemahiran baharu untuk menghasilkan portfolio yang mampu mengetengahkan pencapaian akademik, kemahiran teknikal dan pengalaman kepada bakal majikan.
Menurut Harries, ilmu yang diperoleh merupakan pengalaman baharu yang amat bermanfaat. Beliau berhasrat memanfaatkan kemahiran tersebut untuk membangunkan portfolio digital yang berkualiti bagi meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian pada tahun hadapan.

Secara keseluruhannya, program ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi komuniti setempat. Penguasaan kemahiran dalam penghasilan kandungan digital, fotografi dan reka bentuk membolehkan belia menawarkan perkhidmatan secara bebas (freelance), sekali gus menjana pendapatan tambahan kepada diri, keluarga dan komuniti.
Pendedahan kepada literasi digital dan penceritaan visual ini dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi Sungai Gumut yang lebih mampan. Dengan kemahiran yang diperoleh, belia luar bandar kini lebih bersedia untuk bersaing dalam pasaran kerja kreatif dan ekonomi digital, sekali gus mengurangkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar.
Oleh Dr. Sahnius Usman dan Dr. Sya Azmeela Shariff