JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Di sebalik senyuman manis yang terpancar sewaktu menerima skrol Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69, tersembunyi sebuah kisah luar biasa tentang ketabahan seorang wanita muda, Laaveniya A/P Jothi.
Beliau bukan sahaja menamatkan pengajian dengan penuh liku, malah bangkit sebagai pengasas NIA Academy, sebuah pusat pembelajaran dalam talian yang bermula daripada sebuah bilik sewaan di Benut, Johor dan kini berkembang menjadi platform pendidikan kreatif yang dicari-cari.
Sejak kecil, impiannya hanya satu, iaitu menjadi seorang pendidik. Ketika menuntut di UTM, beliau bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Benut sambil menyiapkan tugasan universiti dan dalam masa yang sama merancang pertunangan bersama pasangannya, Ashwa Kumar, seorang bekas graduan UTM.
Kehidupan pada waktu itu jauh daripada mudah. Tekanan kerja, kedudukan kewangan yang terhad dan masalah pengangkutan menjadikan setiap hari satu ujian baharu.
Beliau sering berjalan kaki ke sekolah dengan penuh tekad, malah tetap berusaha menyediakan kelas tambahan percuma kepada murid yang memerlukan kerana percaya pendidikan harus disampaikan dengan hati.

Namun ujian paling berat hadir apabila berlaku satu insiden yang mengancam keselamatannya sehingga memaksanya meninggalkan profesion yang amat dicintainya. Keputusan itu adalah antara yang paling perit pernah diambil.
“Pada waktu itu, saya rasa dunia saya gelap. Segala usaha yang saya bina seolah-olah hilang begitu sahaja,” katanya mengimbas detik sukar tersebut.
Dalam keadaan buntu dan hilang arah, suaminya mencadangkan agar beliau meneruskan minat mengajar secara dalam talian.
“Suami saya bertanya, kenapa tidak cuba mengajar secara atas talian? Pada awalnya saya ragu-ragu, tetapi saya cuba,” jelas Laaveniya.
Bermula dengan sesi TikTok Live di akaun @official_nia_academy selepas perkahwinannya pada September 2024, beliau mengajar secara percuma sambil menyiapkan tugasan universiti dan bekerja sambilan di sebuah pusat tuisyen.

Percubaan sederhana itu secara perlahan mendapat perhatian. Pelajar mula hadir, ibu bapa mula percaya, dan daripada satu akaun kecil yang hanya mengharap peluang, NIA Academy mula bernyawa.
Hari demi hari, pendekatan pengajaran kreatifnya menarik lebih ramai pelajar daripada sekolah rendah, menengah malah golongan dewasa. Kini, NIA Academy mempunyai lebih 14,000 pengikut di TikTok dan berkembang sebagai ruang pembelajaran yang inklusif serta mudah diakses oleh sesiapa sahaja.
“NIA Academy bukan sekadar kelas tambahan. Ia adalah tempat di mana pelajar merasa dihargai dan disayangi sepanjang proses pembelajaran,” katanya.

Namun kejayaan itu tidak datang secara mudah. Suaminya, Ashwa Kumar, sanggup melepaskan pekerjaan untuk membantu mengurus operasi NIA Academy sepenuhnya.
“Saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa sokongannya. Dia bukan sahaja suami, tetapi tulang belakang yang sentiasa percaya pada kemampuan saya walaupun saya hampir menyerah,” kata Laaveniya dalam nada yang sangat mengharukan.

Kini, NIA Academy sedang berkembang sebagai platform pendidikan yang bukan sahaja menawarkan kandungan akademik, tetapi juga inspirasi dan motivasi.
Laaveniya berhasrat memperluas jangkauan akademi ini ke seluruh negara, agar lebih ramai pelajar dapat menerima bimbingan tanpa mengira latar belakang.
“Matlamat saya bukan untuk menjadi besar, tetapi untuk menjadi bermakna. Saya mahu setiap pelajar percaya bahawa mereka mampu berubah,” tegasnya.
Dalam perjalanan panjang ini, beliau tidak lupa menghargai keluarga yang menjadi sumber kekuatan sejak awal. Sokongan ibu bapa, abang dan adik perempuannya menjadi pelindung emosi yang menguatkannya di saat paling genting.
“UTM bukan sekadar tempat belajar. Ia adalah tempat saya belajar tentang berdikari, kasih sayang, dan bagaimana membina diri menjadi insan yang lebih matang,” katanya penuh kesyukuran.

Kisah Laaveniya adalah kisah tentang keberanian untuk bangkit daripada kejatuhan, kasih yang membina kekuatan, dan harapan yang menyala meskipun jalan tidak selalu mudah.
Ia membuktikan bahawa semangat seorang pendidik tidak pernah padam, walau hanya melalui sebuah skrin kecil yang menghubungkan beliau dengan pelajar yang sedang mencari cahaya ilmu.