December 9, 2025

ASUNA 4.0 perkukuh jalinan akademik UTM dan University of Tokyo

TOKYO, 25 Nov – Program mobiliti global ASUNA 4.0: Tokyo Here We Go! anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang disertai 16 pelajar prasiswazah, telah menyempurnakan siri lawatan akademik dan pertukaran ilmiah di University of Tokyo (UoT). Program yang berlangsung sepanjang cuti pertengahan semester itu diketuai Felo Penasihat, Siti Rahmah Abdullah, bersama pembantu felo, Muhammad Syahir Redwan Mazlin.

Kunjungan rasmi ini menerima sokongan erat daripada Prof. Amy Poh Ai Ling, rakyat Malaysia yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di UoT dan juga bekas staf akademik UTM. Beliau merupakan individu paling aktif memberikan kerjasama sejak peringkat perancangan awal, termasuk menjawab pertanyaan delegasi, memudah cara komunikasi dengan pihak universiti serta memastikan setiap susunan lawatan berjalan lancar. Komitmen beliau telah membantu delegasi memahami struktur fakulti, ruang lingkup penyelidikan dan budaya kecemerlangan yang menjadi amalan utama universiti berprestij tersebut.

Sesi perkongsian bersama Prof. Amy, Prof. Tanaka dan Imran dari UoT
Delegasi Malaysia bergambar bersama Prof. Amy Poh Ai Ling

Dalam siri sesi perkongsian akademik yang dijalankan, para pelajar diberikan pendedahan kepada beberapa bidang penyelidikan utama UoT termasuk fokus kajian di Tanaka Lab, konsep ekonomi kitaran serta penyelidikan berkaitan agrikultur moden. Interaksi langsung bersama pensyarah dan penyelidik membuka ruang kepada peserta untuk mendalami pendekatan penyelidikan Jepun yang terkenal dengan ketelitian, inovasi dan penggunaan teknologi berimpak tinggi.

Delegasi turut menghadiri sesi ucapan motivasi oleh Imran Yusoff dari Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo. Dalam ucapannya, Imran menekankan keperluan generasi muda Malaysia membina perspektif global menerusi pengalaman lapangan di luar negara. Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun berada pada fasa kerjasama strategik yang semakin berkembang terutama dalam bidang teknologi tinggi, kejuruteraan dan pembangunan lestari. Menurut beliau, keterbukaan mahasiswa terhadap peluang pengajian lanjutan di Jepun akan memberi nilai besar kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Lawatan akademik ini turut diperkaya dengan penglibatan dua pelajar Malaysia yang sedang menuntut di UoT. Mereka bertindak sebagai pengiring dan fasilitator sepanjang campus tour merangkumi kawasan Hongo, perpustakaan utama, makmal penyelidikan, bangunan akademik bersejarah serta muzium universiti. Kehadiran mereka bukan sahaja membantu navigasi kampus, tetapi turut membuka peluang kepada delegasi memahami kehidupan sebenar sebagai pelajar antarabangsa di Jepun dari perspektif rakan sebaya.

Delegasi ASUNA 4.0 bergambar di hadapan pokok ginkgo, simbol ikonik University of Tokyo

Delegasi Malaysia turut dapat meneliti budaya kerja penyelidik Jepun yang menekankan disiplin, kesungguhan dan komitmen tinggi terhadap penciptaan ilmu baharu. Interaksi ini membuka horizon baharu mengenai ekosistem penyelidikan global termasuk pendekatan penyeliaan, proses eksperimen serta kepentingan integrasi teknologi dalam penyelesaian isu semasa.

Secara keseluruhan, Program ASUNA 4.0 bukan sahaja menempatkan pelajar dalam suasana akademik bertaraf dunia, malah memperkukuh kefahaman antara budaya serta keyakinan untuk bersaing di pentas global. Pengalaman ini dimanfaatkan melalui pemerhatian kritikal, pembentangan ilmiah dan refleksi mendalam terhadap peranan mahasiswa sebagai peneraju masa depan negara.

Explore More

UTM Open Day